
PERSATUAN Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik saranan Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menggesa semua pihak termasuk kerajaan negeri dan sektor swasta membantu usaha Kumpulan Utusan untuk mengembalikan kegemilangan tulisan jawi. Semua pihak perlu menyokong langkah ini.
Langkah memartabatkan semula tulisan jawi perlu dipandang penting. Tidak cukup sekadar kita mengungkapkan tulisan ini sebagai tulisan warisan.
Kita tidak mahu makna warisan itu hanya menjadi hiasan di dinding rumah sebagi perhiasan dan lorekan. Tulisan jawi bukan sekadar tulisan untuk corak, lorekan atau perhiasan semata.
Langkah memartabat tulisan jawi bukan sekadar itu. Setiap bangsa mempunyai bahasa dan tulisannya. Ini kerana bahasa dan tulisan adalah lambang kepada citra dan jati diri bangsa tersebut.
Sekiranya kita yang mengaku Melayu ini tidak berbangga dan meletakkanya tinggi, maka samalah kita tidak berbangga kepada budaya dan citra bangsa kita sendiri.
Oleh itu langkah untuk memartabatkan tulisan Jawi dan bahasa Melayu perlu mempunyai gerakan perubahan yang menyeluruh iaitu bermula dari awal kanak-kanak sehingga ke peringkat menara gading. Namun begitu langkah ini pasti tidak akan berjaya seandainya perubahan sikap tidak berlaku.
Usaha kerajaan akan menjadi sia-sia sekiranya langkah ini hanya bersambut sebelah tangan. Kita dapat lihat sikap mahasiswa sebagai contoh.
Golongan mahasiswa khususnya begitu memandang enteng malah mentertawakan penggunaan bahasa Melayu di dalam dunia teknologi. Mereka ini golongan yang lupa dan tidak memandang jauh ke hadapan. Lihatlah Jepun dan Korea yang maju, tapi mempertahankan bahasa dan tulisannya.
Langkah mempertahan tulisan jawi bukan sekadar mempertahan akhbar yang bertulisan jawi. Malah ia perlu lebih dari itu.
Kita bimbang tulisan jawi suatu hari nanti hanya bersifat sisipan. Kita perlu mencontohi jiran kecil kita Brunei yang begitu memartabat tulisan jawi dan bahasa Melayu.
Pelawat yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei akan melihat papan tanda yang meletakkan tulisan jawi sebagai tulisan yang paling besar. Di lain-lain tempat di negeri itu juga begitu.
Langkah mempertahankan tulisan jawi juga perlu diperluas sehingga merangkumkan penggunaannya sebagai tulisan ilmu.
Sesuatu bahasa dan tulisan akan dapat dipertahan dan malahan diperkembangkan hanya melalui penggunaannya sebagai alat penyebaran ilmu.
- MOHD FIRDAUS MOHAMED KHAIRI,
Exco Portal, Dokumentasi dan Penerbitan PKPIM.