Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menerusi Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz telah mengemukakan tiga tuntutan utama kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom berhubung isu kalimah Allah sempena pertemuan tergempar NGO-NGO Islam pada 4 Januari 2010 di Hotel Putra, Kuala Lumpur.
Tuntutan pertama PKPIM ialah dengan menggesa seluruh agensi kerajaan yang bersangkutan dengan Islam untuk memperhebatkan agenda kefahaman dan penjelasan di seluruh negara khususnya di kampus-kampus bagi memastikan seluruh umat Islam benar-benar memahami isu yang menggemparkan negara ini.
Menurut PKPIM, selain golongan yang membantah, terdapat juga kelompok generasi muda yang menyokong penggunaan Kalimah Allah disebabkan kegagalan mereka memahami isu ini dari kaca mata setempat atau waqiiyyah dan kesan jangka panjang terhadap kesucian Islam di Malaysia. Maka, beberapa usaha termasuk penyelarasan khutbah jumaat di seluruh negara yang bertujuan memahamkan masyarakat dalam isu ini harus dilaksanakan segera. Sementara itu, tuntutan ini juga dipanjangkan kepada semua NGO Islam lain yang turut bertanggungjawab memahamkan masyarakat selain meletakkan fokus advokasi. Baca Seterusnya...
Selain itu, tuntutan kedua PKPIM pula ialah dengan mendesak agar isu ini diselesaikan sesegera mungkin memandangkan fenomena kesedaran dan kebangkitan Islam dalam kalangan umat Islam khususnya NGO kini berada pada tahap yang tinggi. Namun, jika tempoh penyelesaian memakan masa yang terlalu lama, ia dikhuatiri akan membawa kepada penyelesaian yang tidak tuntas memandangkan fenomena ini akan menurun sedikit demi sedikit. Dalam pertemuan tersebut, PKPIM juga melahirkan sokongan terhadap pandangan beberapa pihak untuk menggunakan segala saluran perundangan yang dapat menyelesaikan masalah ini dalam kadar yang segera.
Dalam pada itu, PKPIM juga memohon jasa baik kerajaan supaya diadakan usaha untuk menganjurkan pertemuan bersama semua pemimpin Islam tanpa mengira parti politik untuk mengeluarkan satu pendirian bersama mempertahankan Kalimah Allah. Bagi PKPIM usaha sebegini sememangnya penting untuk membuktikan kepada bukan Islam bahawa walaupun kita berbeza dari sudut ideologi politik, namun apabila timbulnya satu isu yang menyentuh tentang kesucian Islam, kita bersedia untuk bersama. Maka, PKPIM dan NGO lain telah menyatakan kesediaan untuk menjadi pihak ketiga untuk menjayakan pertemuan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM menghargai usaha musyawarah yang dianjurkan oleh pihak Kementerian bersama NGO-NGO Islam dalam menangani isu ini memandangkan isu ini sudah lama diperjuangkan oleh kelompok NGO semenjak Datuk Seri Abdullah menjadi Perdana Menteri lagi.