HADKAN JUMLAH PENGAMBILAN SUBJEK SPM ADALAH CADANGAN BAIK PDF Print E-mail
Written by spp   
Monday, 25 May 2009 13:52

Menghadkan jumlah pengambilan subjek SPM adalah satu cadangan yang baik. Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia mempunyai sebab yang wajar apabila mengutarakan cadangan tersebut.

 

Penaja-penaja biasiswa cenderung untuk memberikan tajaan kepada pelajar yang berupaya memperolehi keputusan A1 terbanyak. Ini tentunya memberi kelebihan ketara kepada pelajar yang memperolehi A1 dalam kuantiti subjek yang besar berbanding pelajar yang memperolehi A1 dalam kuantiti subjek yang sedikit. Ini tidak adil bagi pelajar di sekolah-sekolah yang menghadkan jumlah pengambilan subjek SPM kepada sembilan atau sepuluh subjek sahaja.

 

Keadaan ini menyebabkan pengabaian terhadap para pelajar daripada sekolah-sekolah tersebut yang turut memperolehi keputusan SPM yang cemerlang tetapi dalam jumlah subjek yang sedikit. Persoalan yang timbul sekarang adalah persaingan yang tidak seimbang di kalangan pelajar untuk merebut tajaan biasiswa.

 

Sebenarnya, sekiranya keadaan di atas dijadikan sebagai ukuran, arahan tentu sahaja boleh dikeluarkan oleh pihak berwajib supaya semua sekolah memberikan kebebasan kepada para pelajar mereka untuk mengambil seberapa banyak jumlah subjek SPM. Dengan itu, masalah persaingan yang tidak adil akan dapat diselesaikan.

 

Namun sebenarnya, terdapat kemaslahatan yang lebih wajar untuk dijadikan sandaran kepada cadangan yang diutarakan. Lewat kebelakangan ini, seruan dan desakan supaya sistem pendidikan Malaysia tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata semakin banyak diperkatakan. Malah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah pun mengambil langkah proaktif membincangkan isu ini secara tuntas. Ini untuk memastikan supaya sistem pendidikan Malaysia lebih bersifat holistik bagi menyanggupi cabaran semasa.

 

Jika persaingan merebut keputusan A1 paling banyak di kalangan para pelajar diteruskan, adalah dikhuatiri ia akan mendorong para pelajar berorientasikan peperiksaan semata-mata, kerana menjadikan peperiksaan sebagai matlamat akhir di dalam pembelajaran mereka. Benar dengan memperolehi keputusan A1 yang banyak akan memberikan indikator kecemerlangan pembelajaran mereka. Tetapi soalnya, sejauh mana?

 

Kecemerlangan pembelajaran tidak boleh hanya diukur dengan keupayaan mengingat apa yang telah dipelajari. Syed Muhammad Naquib al-Attas mentafsirkan ilmu sebagai ketibaan makna di dalam diri. Maka, seharusnya soal sejauh mana makna kepada apa yang dipelajari, benar-benar tiba di dalam diri setiap pelajar menjadi perkara utama. Dan perkara ini tidak dapat diukur dengan kecemerlangan di dalam peperiksaan semata-mata. Ia perlu dinilai secara holistik untuk memastikan sistem pendidikan Malaysia melahirkan insan yang beradab.

 

Semua pihak juga harus mempertimbangkan kebajikan dan kepentingan pelajar luar bandar. Mereka seharusnya diberikan ruang dan peluang untuk turut sama bersaing secara sihat dan adil bersama rakan-rakan pelajar di bandar. Dengan permasalahan kemudahan, kekurangan guru, kemiskinan dan lain-lain yang masih membelenggu sekolah-sekolah kawasan pedalaman, nyata para pelajar luar bandar harus berlari lebih laju untuk mengejar A1. Sekiranya persaingan merebut A1 ini dijadikan amalan, tentu sahaja tidak adil bagi pelajar luar bandar yang terpaksa mengahrungi segala kekurangan berbanding pelajar bandar yang menikmati segala kemudahan yang sudah sedia ada.

 

Maka, tentu sekali cadangan yang diutarakan adalah amat wajar. Namun masih perlukan pertimbangan secara serius. Apa-apa keputusan oleh pihak berwajib seharusnya ditetapkan hanya selepas perbincangan bersama rakyat yang mempunyai kepakaran daripada pelbagai latarbelakang untuk menilai baik atau buruk sesuatu cadangan. Supaya tidak ada lagi keputusan-keputusan yang bersifat autokratik bagi menyahut seruan Y.A.B Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang menyatakan, ”the time for government knows best has end”.

 

 

KHAIRUL ANWAR BIN SHAZALI

Setiausaha Agung,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
 

Rencana Pilihan

Sepuluh Dongengan Bahasa dan Bangsa Melayu
Suatu teori yang sudah beberapa kali dilontarkan oleh pemimpin besar-besar UMNO ialah teori bahasa dan kemajuan bangsa yang nampaknya begitu mudah...Read more...
Bersolat ganti beryoga untuk jaga kesihatan
Sama ada halal atau haram senaman yoga, umat Islam tidak perlu kecoh- kecoh atas kesedaran bahawa mereka mampu memelihara kesihatan tanpa senaman...Read more...
Obama sedarkan orang Melayu
Ramai orang, khususnya bukan Melayu mendapat sedikit perangsang dan semangat secara tiba-tiba dengan kemenangan Barack Hussein Obama sebagai Presiden...Read more...
Jawaban Mahathir Terhadap Dasar Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris Dan Jawaban Balas Daripada Shaharir
(Pandangan Dr. Mahathir ini dipetik daripada blognya sendiri yang saya disedari adanya pada 23/08/08. Untuk memudahkan pembaca, pandangannya...Read more...
PPSMI dan Sistem Nilai Masyarakat
Pada awal abad ke-20, kolonial British mula memperkenalkan ekonomi moden yang tersusun di Tanah Melayu berasaskan pengeluaran komoditi berasaskan...Read more...

Perhubungan

Logo PKPIM
Sekretariat PKPIM Pusat
  Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2,
Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Telefon: +603-6184 2286
Faks: +603-6184 2285
Laman Sawang: www.pkpim.net
Emel: pkpim_spp@yahoo.com