|
Fikrah Timb. Presiden
|
Written by Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad
|
|
Thursday, 04 March 2010 15:55 |
|
Realiti hari ini menyaksikan sikap dan adab pergaulan (ikhtilat) antara lelaki dan perempuan sudah jauh dari ajaran Islam. Fenomena yang berlaku ialah pergaulan yang tidak lagi terbatas di antara lelaki dan wanita ajnabi telah membawa kepada akibat yang lebih buruk iaitu perzinaan. Apa yang lebih tragis, apabila manusia sudah hilang akal pertimbangan yang waras dan sifat-sifat manusiawi dengan timbulnya masalah buang bayi yang sangat ketara hari ini. Tidak dapat dinafikan hal ini sangat berkait rapat dengan masalah pergaulan bebas malahan ia menjadi punca utama dan faktor penyumbang kepada krisis moral yang berlaku. Rata-rata masyarakat hari ini mungkin mempunyai pandangan dan pendapat yang tersendiri apabila membincangkan topik pergaulan (ikhtilat) ini. Akan tetapi, walau apa pun pendapat tersebut,ianya mestilah dikembalikan kepada dasar-dasar islam yang sesuai dengan zaman,masa dan tempat. Jika kita kembali kepada sirah nabawiyyah, memang Rasulullah Saw sendiri memandang berat tentang pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah serta persentuhan.Ini dapat kita lihat, sebagaimana hadith daripada Hamzah bin Usaid Al-Ansari yang diriwayatkan daripada bapanya yang mendengar Rasulullah Saw bersabda,apabila melihat kaum wanita bercampur aduk dengan lelaki di tengah jalan : عن أبي أسيد الأنصاري عن ابيه : أنه سمع رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول وهو خارج من المسجد فاختلط الرجالبحافا مع النساء في الطريق فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم للنساء : استأخرن ؛ فإنه ليس لكن أنتحققن الطريق ؛ عليكن بحافات
Yang bermaksud : Daripada Abi Usaid Al-Ansori daripada ayahnya : Bahawa dia (iaitu ayah Abi Usaid Al-Ansori) telah mendengar Rasulullah Saw bersabda, di mana ketika itu Rasulullah Saw berada di luar masjid, dan berlaku ikhtilat di kalangan lelaki dan perempuan ( di mana Rasulullah Saw melihat ikhtilat tersebut ) : " Kebelakanglah kamu,sesungguhnya kamu tidak boleh berada berada di tengah jalan,kamu mestilah berjalan di tepi jalan."[1]
Dalam mempraktikan hadith Nabi Saw, para sahabiyyat telah menghampirkan diri mereka ke dinding, hingga ada riwayat mengatakan bahawa kerana terlampau rapat dengan dinding, ada di antara pakaian mereka yang tersangkut dengan dinding bangunan.
Beginilah Rasulullah Saw sebagai seorang pemimpin pada ketika itu,memastikan bahawa rakyatnya sentiasa hidup di dalam keadaan yang jauh dari fitnah dan perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak mujtama'.
MAKNA IKHTILAT ( الإختلاط) Perkataan الإختلاط ini mungkin biasa kita dengar,iaitu maksudnya adalah bercampur.Dan biasanya digunakan untuk merujuk kepada suatu pergaulan yang tidak sihat dan bercanggah dengan nilai-nilai murni islam.Di sana ada perkataan lain yang digunakan untuk merujuk muamalat antara lelaki dan perempuan seperti لقاء - مقابلة مشارك.[2] Namun memang di dalam kebanyakan kitab-kitab apabila membicara tentang perhubungan bebas,para ulamak akan menggunakan perkataan الإختلاط.
Dari sudut bahasa, perkataan الإختلاط berasal dari perkataan خلط yang memberi maksud bercampur iaitu مزج. Di dalam Al-Qamus Al-Muhit dijelaskan bahawa sesuatu yang bercampur dipanggil اختلط.[3] Kalau ismu failnya adalah خالط. Dari sudut istilah pula, merujuk kepada pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim di suatu tempat yang membolehkan mereka berhubung antara satu sama lain dengan pandangan atau isyarat atau percakapan.[4] Apabila kita merujuk kepada definisi ini,apa yang dimaksudkan dengan ikhtilat adalah pergaulan bebas. HUKUM PERGAULAN ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN SERTA GARIS PANDUAN Tidak dapat dinafikan bahawa muamalah di antara lelaki dan perempuan di dalam hidup ini adalah wujud. Lebih-lagi pada hari ini, situasi persekitaran yang memerlukan kerjasama dua hala di antara lelaki dan perempuan dalam segenap urusan harian. Apa yang lebih utama, keperluan hubungan antara kedua-dua pihak ini dalam menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, dakwah dan ilmu. Firman Allah SWT: وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ Maksudnya: Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.[5] Ayat ini menjelaskan bahawa lelaki dan perempuan yang beriman saling berkerjasama dalam menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar,maka sudah tentu di sana ada situasi-situasi yang memerlukan mesyuarat, perbincangan, percakapan dan sebagainya. Dan apa yang harus kita fahami bahawa, walaupun begitu islam telah menetapkan garis panduan yang terperinci untuk menjaga perhubungan ini.Maka,garis panduan inilah yang menentukan sesuatu hubungan itu adakah bertepatan dengan syarak atau pun tidak.
Kalau kita mengkaji garis panduan yang dinyatakan oleh islam, ia menutup segala pintu-pintu yang boleh membawa maksiat.Ia melibat pandangan mata, suara, pakaian (aurat), tujuan perbincangan dan keadaan pergaulan itu berlaku. Merujuk kepada Kitab Al-Fatawa Al-Mu’asoroh oleh Al-Qardhawi,[6] beliau telah menetapkan dhowabit (garis panduan) dalam pergaulan@pertemuan di antara lelaki dan wanita, iaitu : 1. Kedua-dua belah pihak hendaklah sentiasa menundukkan pandangan,tidak memandang aurat dan dengan perasaan syahwat.Firman Allah Swt :
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَيَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ جَهُنَّ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka.[7]
Bukanlah yang dimaksudkan seperti ayat di atas Islam tidak membenarkan langsung untuk kita memandang dan melihat jantina yang berlawan jenis, akan tetapi hanya sekadar yang perlu sahaja dalam urusan-urusan tertentu. Rasionalnya, kerana pandangan adalah segala-galanya, bak pepatah Melayu “dari mata turun ke hati”. Boleh saja mata ini memberikan ‘isyarat’ kepada hati agar bertindak ke peringkat yang seterusnya.
Namun begitu, Islam mengecualikan pandangan secara tidak sengaja. Tetapi apa yang perlu kita buat apabila kita tidak sengaja? Hal ini telah dijawab oleh Rasulullah Saw terhadap soalan Jarir RA, seorang sahabat Nabi Saw yang bertanyakan tentang pandangan yang tidak disengajakan : Sabda Baginda: اصرف بصرك Yang bermaksud : Alihkan pandangan kamu[8] 2. Perempuan muslimah pula mestilah sentiasa memakai pakaian yang telah ditetapkan oleh syarak yang menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.Juga tidak terlalu nipis dan tidak mengikut bentuk badan sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Allah swt : وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ Yang bermaksud: Dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya[9]
Telah disahkan oleh beberapa sahabat, apa yang zahir daripada perhiasan ialah muka dan dua tapak tangan.
3. Sentiasa menjaga adab muslimah,terutama ketika berinteraksi dengan lelaki dari segi : i- Percakapan,tidak melampaui dan menggoda.Sebagaimana firman Allah Swt kepada para isteri Nabi Saw. Dan isteri-isteri Nabi Saw, adalah ikutan terbaik untuk semua wanita di sepanjang zaman dan tempat.
يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا Yang bermaksud : Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti perempuan yang lain kalau kamu bertakwa. Maka janganlah kamu berbicara dengan lembut manja kerana boleh menimbulkan keinginan orang yang di dalam hatinya ada penyakit; dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik, sesuai dan sopan.[10] ii- Cara berjalan. Firman Allah swt : وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ Yang bermaksud: Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.[11]
فَجَاءَتْهُ إِحْدَاهُمَا تَمْشِي عَلَى اسْتِحْيَاءٍ Yang bermaksud : Maka datang kepadanya salah seorang dari keduanya sambil berjalan tersipu-sipu.[12]
Ayat di dalam Surah Al-Qasas ini menceritakan kisah salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib As yang datang untuk menyampaikan jemputan ayahnya kepada Nabi Musa As.Dapat kita lihat, qudwah yang ditunjukkan di dalam kisah anak Nabi Syuaib AS ini, bagaimana apabila berjalan, beliau berjalan dalam keadaan tersipu-sipu dan malu.Bukannya berjalan dalam keadaan sebaliknya, yang langsung tidak sesuai dengan fitrah seorang wanita.
iii- Pergerakan pula janganlah terlalu kasar dan janganlah terlalu lembut yang boleh menggoda. Gerunilah amaran yang dinyatakan oleh Rasulullah Saw di dalam haditnya :
صنفان من أهل النار ....ونساء كاسيات عاريات مميلات مائلات رؤوسهن كأسنمة البخت المائلة لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها لتوجد من مسيرة كذا وكذا Yang bermaksud : 2 golongan yang termasuk dari kalangan ahli neraka…. perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga.Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini.[13]
- Hendaklah menjauhi perkara-perkara yang boleh merangsangkan syahwat seperti bau-bauan, minyak wangi,warna-warna yang menarik yang sepatut di pakai di rumah, bukan di jalanan untuk bertemu dengan lelaki.
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
Yang bermaksud : Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliyah zaman dahulu.[14]
Yang dimaksudkan dengan تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ disini ialah menzahirkan perhiasan dan kecantikan yang wajib ditutup dan yang boleh mempengaruhi syahwat orang lain…[15]
5. Sentiasa berwaspada,agar lelaki dan wanita tidak berdua-duan tanpa mahram Hadith sohih telah memberi ingatan
لا يخلو رجل بامرأة ألا ثلثهما الشيطان
Yang bermaksud: Tidak berkhalwat seorang lelaki dan perempaun, melainkan yang ketiganya adalah syaitan
. 6.Pertemuan itu mestilah berdasarkan keperluan atas urusan kerja tanpa melampaui sehingga menyebabkan wanita itu lalai dalam menguruskan rumah tangga dan mendidik generasi.
Walaupun kita lihat di atas,seperti merujuk kepada wanita sahaja,namun lelaki tidak lari dari kemestian menjaga adab-adab yang sama dari sudut pakaian,percakapan,pergerakan dan lain-lain. Justeru, adalah menjadi satu kewajipan untuk seluruh Muslimin dan Muslimat bagi menjaga etika dalam pergaulan sesama kita dan sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial di kalangan umat Islam hari ini. Bagi juru dakwah terutamanya yang terlibat dengan gerakan jemaah ini juga perlu lebih menjaga dari sudut muamalah supaya ianya tidak menjadi fitnah kepada agama yang tercinta ini. Wallahu'alam. Hidup Biar Berjasa! Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad [1] Riwayat Abu Daud dan Al-Baihaqi [2] Kitab Al-Fatawa Al-Muasoroh oleh Al-Qaradawi jilid 2 m/s 303-304 [3] Al-Qamus Al-Muhit madah خلط m/s 665 [4] Kitab Hak dan Kewajipan Wanita Menurut Islam oleh Abdullah bin Jarullah bin Ibrahim Jarullah. Diterjemahkan oleh Ustaz Ismail Tuan Haji As-Syafiee Al-Bakabi m/s 39.Cetakan Al-Hidayah Publisher. [5] Surah At-Taubah ayat 71. [6] Al-Fatawa Al-Mu’asoroh m/s 309-311 [7] Surah An-Nur ayat 30-31 [10] Surah Al-Ahzab ayat 32 [11] Surah An-Nur ayat 31 [12] Surah Al-Qasas ayat 25 [14] Surah Al-Ahzab ayat 33 [15] Al-Mausuah Al-Quraniah Al-Muyassaroh oleh Jemaah min Al-Ulamak antaranya Dr Wahbah Zuhaili m/s 423 |
|
Written by spp
|
|
Thursday, 15 October 2009 21:49 |
|
Dalam meniti hari-hari akhir di bulan Syawal yang disifatkan sebagai bulan kemenangan umat Islam ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) rasa terpanggil untuk menyatakan rasa dukacita yang sangat mendalam apabila melihat akan perilaku generasi muda hari ini yang sudah tandus akhlak dan adabnya. Terbaru, dalam laporan akhbar Harian Metro yang bertarikh 14 Oktober 2009 telah mendedahkan kegiatan tiga beradik yang menganjurkan pesta maksiat bersama pasangan mereka di sebuah pangsapuri yang disewa di Putrajaya. Lebih menyedihkan, kegiatan itu membabitkan tiga gadis bawah umur yang sepatutnya menumpukan pelajaran di sekolah. Berita seumpama ini hanyalah sekelumit daripada ribuan permasalahan generasi muda hari ini. Bahkan, mungkin ada yang menyifatkan berita seperti ini adalah picisan kerana di sana masih banyak lagi masalah yang lebih serius melibatkan generasi muda dalam pelbagai kegiatan jenayah. Walau apa sekalipun, perkara pokoknya tetap sama. Anak muda hari ini khususnya bangsa Melayu telah dirempuh dengan kebejatan akhlak dan adab yang sangat besar. Selain itu, baru-baru ini Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Prof Dr Mahmood Nazar Mohamed telah mengeluarkan suatu kenyataan berkenaan dengan jumlah penagih dadah di kalangan wanita di negara ini dengan peningkatan sebanyak 1.7 peratus iaitu seramai 263 orang yang ditangkap berbanding tahun lalu. Jumlah ini dianggap serius kerana ia melibatkan golongan wanita yang berumur seawal 18 tahun. Bukti lain yang menunjukkan betapa seriusnya masalah penagihan dadah di kalangan wanita di negara ini adalah dengan wujudnya satu pusat serenti wanita yang dibina di Bachok, Kelantan, yang dikenali sebagai Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen). Lanjutan daripada itu, beliau juga menyatakan sehingga September lalu, seramai 2,762 penagih dadah dikesan dengan Kuala Lumpur telah mencatatkan rekod paling ramai yakni berjumlah 577 orang atau 20.97 peratus dan diikuti Kedah seramai 574 orang atau 20.86 peratus. Persoalannya, apakah kita masih lagi mahu pasif dan perlu bersikap selesa dengan angka-angka di atas? Pada hakikatnya, pelbagai cara atau ikhtiar telah dijalankan oleh semua pihak di semua peringkat sehinggalah kepada ibu bapa remaja yang terlibat demi membanteras permasalahan yang berlaku ini. Akan tetapi, persoalannya di sini apakah adab dan akhlak generasi muda dapat dikembalikan dengan bentuk hukuman semata-mata yang dijatuhkan atas kesalahan mereka? Adab hanya akan lahir menerusi penyemaian nilai-nilai murni berteraskan ilmu yang tepat terhadap seseorang individu sehingga lahirnya rasa pengiktirafan terhadap letakduduk segala sesuatu pada tempatnya yang benar. Tempat segala sesuatu sudah pasti bukan sahaja merujuk kepada tempat yang bersifat jasmani tetapi yang lebih penting kedudukan rohani seperti ketuhanan, kenabian, hari akhirat dan lain-lain dalam jiwa dan akal manusia. Justeru, PKPIM merasakan langkah terbaik bagi mencetuskan rasa beradab seperti ini adalah dengan medium pendidikan atau ta’dib (penyemaian adab dalam diri insan) terhadap generasi muda. Dalam pada itu, PKPIM menyarankan kepada kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia agar memperkasa semula modul khas yang meliputi program motivasi, kesedaran, kerohanian, kekuatan minda dan jasmani yang telah dilancarkan di pusat korikulum daerah atau negeri tidak berapa lama dahulu. Hal ini penting demi menanam dan menjana semula sifat dan nilai murni yang sepatutnya ada dalam diri pelajar. Jika kita imbas sejarah, banyak sekali pengiktibaran yang membuktikan bahawa kekuatan fizikal, mental dan spiritual golongan muda pada usia inilah yang akan menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa. Pada usia inilah manusia berada di tahap paling optimum dalam perkembangan jasad dan mentalnya dalam menyumbang yang terbaik dari dirinya. Pasti kita masih ingat akan sejarah betapa banyak tokoh-tokoh pemuda atau remaja yang melonjakkan diri mereka menjangkau pemikiran dan sumbangan golongan dewasa. Kisah al-Imam asy-Syafie yang mampu mengeluarkan fatwa tentang urusan agama pada usia 15 tahun, keunggulan Sultan Muhammad al-Fatih yang mengetuai ratusan armada kapal laut dalam misinya menawan Kota Konstantinople yang pada waktu itu beliau hanya berusia 21 tahun serta Ibnu Sina yang menguasai bidang Kimia dan 8 bidang ilmu utama yang lain pada seawal usia 21 tahun sehingga kitab karangan terkenalnya Qanun Fittib dicetak ke dalam pelbagai bahasa di benua Eropah. Segala tauladan yang dinyatakan adalah bukti betapa kebolehan berfikir di luar konteks usia dan menabur bakti bersungguh-sungguh adalah syarat yang membolehkan mereka diangkat dan dihormati oleh umat pada zaman mereka dan zaman ini. Oleh itu, PKPIM mencadangkan agar pendekatan berhikmah dapat digunakan bagi membanteras kebejatan sosial yang melanda generasi muda terutama dalam menyelesaikan permasalahan yang mengakar seperti isu seks bebas, penyalahgunaan dadah, buli, gangsterisme, merokok, dan sebagainya. Pendekatan yang baru serta bersifat tidak terus menghukum dilihat lebih sesuai dan berkesan. Api jika dilawan dengan api sudah pasti akan memarakkan lagi konflik yang ada. Justeru dengan pendekatan berhikmah, teknik membawa mereka kembali menghayati gaya hidup murni dan beradab secara tidak langsung adalah amat perlu. Di samping itu, pembentukan ‘peer group’, atau rakan yang prihatin perlu dalam memastikan anak-anak muda yang bermasalah ini dihampiri, dijiwai dan disembuhi bersama-sama menerusi kaedah ‘Mentor-Mentee’. Teknik ini boleh dipimpin oleh seorang senior atau moderator kumpulan berpengalaman dari kalangan NGO belia yang boleh menjadi tempat untuk mengadu masalah dan berkongsi pengalaman hidup sesama ahli. Perasaan kasih-sayang yang terbit di dalam kumpulan ini diharapkan menjadi penebat kepada krisis akhlak yang berlaku. Biar kita tegas dalam prinsip, namun dalam masa yang sama berlembut dalam pendekatan yang digunakan. Perlu diingat, pembinaan sebuah bangsa adalah terletak di bahu generasi mudanya. Sungguh, kita akan terus gemilang di persada belia dunia jika kebejatan adab yang melanda ini dapat dibanteras sekiranya pembangunan spiritual, mental dan fizikal dijadikan asas dalam membina barisan remaja yang punya upaya dan dipercayai. Justeru PKPIM dengan satu “Gagasan Ta’dib Kepemudaan” menyeru agar seluruh masyarakat memfokuskan kepada usaha melindungi, mendidik seterusnya memastikan generasi muda negara akan terus dilihat berakhlak mulia dan berkarisma dalam memimpin negara kita pada masa akan datang. Allah S.W.T pernah menggariskan di dalam al-Qur’an, ayat ke-26 surah al-Qosas, bahawasanya di antara syarat pemilihan pemuda yang terbaik untuk bekerja demi membangunkan negara adalah mereka yang mempunyai al-Qawiyy al-Amin, atau mereka yang berupaya dan berwibawa. Mohd Akmal Afiq Bin Mohamad |
|
Written by spp
|
|
Thursday, 23 April 2009 10:50 |
|
Geram dan marah dirasakan apabila mendengarkan ada ‘penceramah agama’ mengeluarkan kenyataan yang terlalu angkuh dan sombong; lebih menggeramkan apabila kenyataan itu dibuat dalam keadaan menyandarkan diri mereka sebagai pendokong “ahli sunnah wal jama’ah”, sedangkan pada hakikatnya mereka tidak memahami asas-asas aqidah ahli sunnah wal jama’ah. Jika tidak kerana mengenangkan bahawa guru saya juga belum pernah menyebut nama individu apabila membidas kenyataan-kenyataan serta fahaman-fahaman yang tidak betul ini, maka pasti akan saya sebut nama individu tersebut, serta nama mereka yang berfahaman sealiran dengannya di sini dan akan saya ganyang namanya habis-habisan. Saya sangat marah dengan geram dengan kenyataan angkuh yang mereka keluarkan: bahawa kita selaku umat Islam pada hari ini tidak perlu merujuk kepada “syeikh”, tetapi sebaliknya cukup sekadar merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Dengan penuh angkuh mereka menyatakan bahawa umat pada hari ini tidak memerlukan kepada “syeikh”. Hal ini demikian, kerana menurut fahaman mereka, bahawa “syeikh” ini akan banyak mengajar kepada kesesatan, yakni perkara-perkara yang menyimpang jauh daripada Al-Quran dan As-Sunnah. Ya Allah! Semoga Allah mengampunkan mereka serta membuka pintu hati mereka untuk menerima cahaya Hidayah bagi menunjuki mereka kebenaran hakiki. Mereka menggunakan ayat Al-Qur’an berikut sebagai dalil mereka bagi mengatakan bahawa tidak perlu untuk kita merujuk kepada “syeikh”, yakni tuan-tuan guru yang mendidik hati-hati kami ini. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu, lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah An-Nisaa’, ayat 59) Disebabkan oleh dalam ayat Al-Qur’an ini ada menyatakan supaya kita kembali merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah apabila ada perselisihan pendapat, maka dengan mudahnya mereka mengatakan bahawa kita tidak perlu kepada “syeikh” sebagai rujukan. Ya Allah! Apabila kita renungi secara rasional dan teliti, ternyata kenyataan itu adalah terlalu angkuh dan malah kenyataan tersebut dengan sendirinya bercanggah dengan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah. Saya bukanlah seorang ulama, tetapi saya hanyalah seorang penuntut ilmu yang faqir. Justeru, saya hadirkan di sini beberapa hujah mudah yang merupakan butir-butir mutiara yang saya kumpulan daripada pengajaran tuan guru yang saya kasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus sebelum engkau (Muhammad), melainkan orang laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl, ayat 43) Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya: “...Katakanlah, ‘Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sebenarnya hanya orang yang berakal sihat yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9) Firman Allah Subhanahu wa ta’ala juga, yang lebih kurang maksudnya: “Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tidak ada yang akan memahaminya kecuali mereka yang berilmu.” (Surah Al-Ankabut, ayat 43) Kemudian, terdapat juga beberapa hadith yang menunjukkan kepada kita tentang keutamaan orang yang berilmu, sekaligus mengajar kita betapa perlunya kita merujuk dan berguru dengan mereka. Hadith-hadith ini saya petik daripada kitab Mukhtasar Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali yang merupakan ringkasan kepada karya monumental beliau yakni Ihya’ ‘Ulumuddin. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: “Para ulama adalah waris para nabi.” Dalam hadith yang lain pula Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud: “Manusia yang darjatnya paling dekat pada kenabian adalah ahli ilmu dan ahli jihad. Adapun ahli ilmu kerana mereka telah menunjukkan manusia pada apa yang dibawa Rasul. Sedangkan ahli jihad kerana mereka telah memperjuangkan dengan pedang mereka apa yang dibawa Rasul.” Ketika mengutus Mu’adz ke Yaman, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud: “Seandainya Allah memberi petunjuk kepada seseorang kerana perantaraan kamu, maka itu lebih baik bagimu daripada dunia dan seisinya.” Nah, ayat-ayat Al-Qur’an dan Hadith-hadith yang dinyatakan di atas menjadi hujah dan dalil tentang kemuliaan golongan ulama, dan inilah para “syeikh” yang dikatakan oleh mereka yang tidak mengerti itu sebagai ‘orang yang kita tidak perlukan’. Memang benar kita perlu merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Namun, persoalannya, siapakah yang akan mengajar kita isi kandungan Al-Qur’an dan As-Sunnah, kalau bukan tuan-tuan guru kita tersebut? Apakah kita ini semua sudah begitu hebat dan mantap ilmu kita sehingga kita mampu untuk merujuk secara langsung kepada Al-Qur’an dan Al-Hadith? Apabila ada pihak yang merasakan bahawa kita tidak memerlukan kepada “syeikh” ini, maka ternyata mereka adalah pihak yang sombong dan angkuh dengan ilmu! Golongan seperti ini seolah-olah merasakan bahawa ilmu agama mereka sudah begitu mantap. Ya Allah! Seterusnya, perlu dipersoalkan juga, apakah dengan merujuk kepada tuan-tuan guru ini bererti kita tidak merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah? Tuan-tuan guru (masyaikh) kami ini juga merujuk kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Malah, disebabkan oleh adab mereka dalam menuntut ilmu, maka ilmu dan pengetahuan mereka begitu luas sehingga tidak mungkin sama dengan taraf keilmuan yang ada pada mereka yang menentang adab-adab dengan ilmu ini. Dengan adab yang ada pada mereka, para masyaikh kami ini mempunyai susur-galur ilmu (sanad) yang bersambung-sambung sehingga sampai kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Malah, ada di antara guru-guru kami yang mulia ini diberikan nikmat oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk belajar secara langsung daripada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam melalui cara-cara yang tidak mungkin mampu difahami oleh golongan yang angkuh tersebut. Mungkin di kalangan mereka yang angkuh ini berpandangan bahawa para masyaikh ini banyak mengamalkan perkara-perkara yang tidak ada sandaran dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith. Persoalannya, apakah mereka yang angkuh itu sudah mengetahui dan membaca semua hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang wujud di dunia ini? Kemudiannya, adakah mereka itu mencukupi kelayakan mereka untuk memahami isi kandungan Al-Qur’an dengan sendiri tanpa perlu merujuk kepada para masyaikh yang mempunyai keluasan ilmu? Begitu juga, apakah mereka sudah mempunyai kelayakan yang betul-betul mantap sehingga mereka mampu untuk menentukan kedudukan sesuatu hadith? Jika setakat merujuk kepada beberapa sumber yang sangat sempit seperti tulisan-tulisan Al-Albani, maka ternyatalah bahawa para masyaikh kami yang rata-rata mempunyai ijazah dan sanad hadith yang bersambung-sambung sehingga sampai kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam lebih wajar untuk dirujuki dan didengari. Proses merujuk kepada “syeikh”, yakni proses berguru, adalah merupakan satu adab yang penting dalam menuntut ilmu. Atas sebab itulah, andaikata kita meneliti dan memperhalusi peristiwa Isra’ dan Mi’raj, maka kita akan mendapati bahawa itulah antara inipati pengajaran yang boleh diperolehi daripada peristiwa luarbiasa tersebut. Bayangkan, sepanjang Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam berkembara dalam peristiwa tersebut, baginda ditemani malaikat Jibril a.s.. Secara logiknya, apakah mungkin Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam tersesat dalam perjalanan tersebut sekiranya tidak ditemani Jibril a.s.? Sudah tentu tidak, kerana yang memperjalankan baginda adalah Allah Subhanahu wa ta’ala. Namun, salah satu tujuan malaikat Jibril a.s. menemani Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah sebagai simbolik bagi mengajar mesej bahawa dalam perjalanan menuju Allah Subhanahu wa ta’ala, kita perlukan pembimbing dan pendidik. Justeru, saya menasihati diri saya sendiri dan semua umat Islam yang membaca penulisan ini: buanglah jauh-jauh rasa sombong, takabbur dan angkuh. Imam Al-Ghazali pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang itu menjadi takabbur apabila ia merasakan dirinya lebih mulia daripada seekor anjing. Contohilah para sahabat seperti Umar al-Khattab r.a. yang begitu menghormati Abu Bakar as-Siddiq r.a. kerana menyedari hakikat kedudukan dirinya jika dibandingkan dengan Abu Bakar as-Siddiq r.a. Sedarilah bahawa sombong itu adalah pakaian Allah Subhanahu wa ta’ala. Oleh sebab itu, barangsiapa yang bersikap dengan kesombongan maka ia berdosa besar! Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala mengampuni dosa kita semua serta terus mengurniakan cucuran Rahmat-Nya serta limpahan Hidayah-Nya yang tidak putus-putus kepada kita semua. |
|
Written by spp
|
|
Friday, 10 April 2009 12:09 |
|
Persoalan tentang sambutan Maulid Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ternyata belum selesai. Masih ada suara-suara yang mempersoalkan pihak yang giat mengadakan program sambutan Maulidurrasul. Paling kurang menyenangkan adalah apabila ada yang mengatakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu sama seperti kita sebelum baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul. Saya bukanlah seorang ulama, tetapi sekadar menghadirkan hujah-hujah para ulama Islam yang bersandarkan kepada dalil Al-Qur’an dan Al-Hadith sebagai mendokong kewajaran mengadakan sambutan Maulidurrasul. Apa yang penting adalah, kalaupun ada yang enggan menyambut Maulidurrasul, maka janganlah disalahkan atau dikritik pihak yang ingin menzahirkan kecintaan mereka yang mendalam terhadap Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Pertamanya, harus kita fahami bahawa mencintai Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu dengan kecintaan yang mendalam, mengatasi kecintaan kita kepada segala yang lain, adalah merupakan satu keutamaan; malah, menjadi pra-syarat lengkapnya keimanan seseorang itu. Di dalam sebuah hadith ada diterangkan dengan jelas kewajipan mencintai Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Daripada riwayat Anas r.a., Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang maksudnya: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibu bapanya dan manusia seluruhnya.” (Hadith riwayat Bukhari, Muslim dan Nasa’ie) |
|
Written by spp
|
|
Monday, 30 March 2009 14:14 |
|
We’re still in Rabi’ulawwal, and we should still be celebrating the birthday of our beloved prophet, Rasulullah Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Yesterday (Monday) was the formal celebration for Maulidurrasul at national, state and division levels. It was a public holiday for Malaysia. Muslims in Malaysia take to the streets, not to protest or demonstrate on any issue, but to take part in processions which is usually the main event during Maulidurrasul celebrations – well, that’s how it is in Sarawak, at least. However, some may wonder, do those activities really satisfy the goal of celebrating the birthday of Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam? Is celebrating the birthday of the most honoured amongst all of Allah’s creations sufficed by street processions, banner competitions, giving awards and nasyid performances? Clearly not. (Evidently this article won’t be written if it is.) And no, I am not implying that all those activities are useless; no, they have their part in making Maulidurrasul celebrations a grand one. I would however like to share a few ideas – tips, perhaps – for making Maulidurrasul celebrations a more significant one. These are some quick and simple tips (there are just four of it, anyway) for inspiring our love towards Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, and making our love towards him become stronger and stronger.
Tip #1 Make lots of prayer and du’a to Allah Subhanahu wa ta’ala. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam was a person who prays and make lots of du’a. Pray to Allah Subhanahu wa ta’ala so that He nurtures within our hearts the most compassionate and strongest love towards Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Pray to Allah Subhanahu wa ta’ala so that He gives us strength to manifest our love towards the Prophet. Never forget that our hearts are Allah’s to control; He may change our hearts towards love or hatred, towards belief or ignorance. That’s why we have to make lots of prayers and du’a so that Allah Subhanahu wa ta’ala nurtures our hearts with love and iman, not the opposite. Tip #2 Learn to know Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. We cannot have the feeling of love towards something or someone that we do not know. Therefore, to inspire love towards the Prophet, learn about Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. There are lots of good sirah books out there. However, it is more efficient and it is better even to learn about the Prophet from scholars (‘ulama’) directly. Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam is the one and only figure in the history of mankind whose life is most completely and comprehensively documented; therefore, there are lots to learn about our beloved Prophet. Tip #3 Say lots of ‘salawat’ to Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Saying the ‘salawat’ upon the Prophet is one of the most honourable thing to do. Why? Because it is what even Allah Subhanahu wa ta’ala and the angels do! Allah Subhanahu wa ta’ala and the angles say lots of ‘salawat’ to the Prophet. Therefore, as a believer, we have to say lots of ‘salawat’ towards our Prophet. The ‘salawat’ is an honoured prayer towards the Prophet; even our solat (prayer) becomes invalid if we do not recite the ‘salawat’ in it. Tip #4 Last, but definitely not the least, we must try to emulate the Prophet. Even if it is bit by bit. As I’ve mentioned above, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam is a person whose life is most completely documented. Refer to local Islamic scholars and learn about the Prophet, and try to emulate just a little bit of what Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam did. If we do the things we do everyday, with the intention of emulating the Prophet, then that act will become an ‘ibadah. Wallahu’alam. |
|
|
|
<< Start < Prev 1 2 3 Next > End >>
|
|
Page 1 of 3 |
|
|
|
|
|
Perhubungan
Sekretariat PKPIM Pusat Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7, Kampung Tengah, Batu 6 1/2, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur MALAYSIA
Telefon: +603-6184 2286 Faks: +603-6184 2285 Laman Sawang: www.pkpim.net Emel: pkpim_spp@yahoo.com
|
|