Obama & Kemenangan Kaum Tertindas PDF Print E-mail
Written by Syed Mikael Rizal Aidid   
Friday, 07 November 2008 08:26
Seluruh dunia bergembira dan berkongsi satu harapan ke arah dunia yang lebih aman. Sambutan gilang gemilang dari Kenya yang mengisytiharkan cuti umum kepada rakyatnya sehinggalah ke sebuah bandar yang kebetulan namanya Obama City di Jepun, turut bersorak ke tahap menitiskan air mata kerana satu kemenangan. Kemenangan seorang pemimpin dari blok kaum yang tertindas. Inilah kali pertama dalam lembaran sejarah negara Amerika Syarikat atau negara 'polis' dunia itu, dipimpin oleh manusia berkulit hitam iaitu Senator Barrack Hussain Obama.

Obama, yang turut mencatat sejarah sebagai calon presiden kulit hitam pertama daripada Parti Demokrat, telah diisytiharkan menang setelah menumpaskan John McCain dari Parti Republikan dengan undi elektoral sebanyak 349 berbanding 162. Banyak benar komentar yang kita dengar dan terima dari pelbagai sumber yang agak berwibawa. Banyak juga persoalan mandatori yang dunia mahu tahu jawapannya dari Obama, antaranya; dasar AS di Iraq, isu pembantaian umat Islam di Iraq dan Palestin, hubungan AS dengan Iran dan Korea Utara, isu penahanan ‘teroris’ di Teluk Guantanamo, isu dunia yang bebas ancaman nuklear serta pakej rangsangan ekonomi baru untuk merawat ekonomi dunia, dan banyak lagi jawapan yang kita berhak tahu.
 
Apapun jawapan Obama, kita selaku rakyat yang berada di dalam negara yang selalu memperjuangkan hak-hak asasi kaum minoriti dan tertindas, seharusnya berasa bangga kerana kemenangan Obama berjaya menumbangkan keegoan sekelompok manusia yang merasakan mereka sentiasa mulia dan paling pintar di atas muka bumi ini. Mereka yang merasakan hanya merekalah yang paling betul dalam apa juga tindakan dan yang lain jangan melawan dan hanya perlu akur setiap masa.

Untuk menamatkan imej hagemoni penguasaan Amerika yang berkuasa sewenang-wenangnya kepada penduduk dunia selama 232 tahun itu, bukan mudah. Cabarannya menggunung bagi Obama. Untuk Obama mewarisi, mendiami dan memimpin lambang kepimpinan dunia dengan lancar di White House dari kepimpinan Bush yang kritikal, telah memaksa beliau melancarkan kempen pemulihan imej Amerika di mata dunia dengan kadar yang segera. Imej pusat pentadbiran itu yang selama ini dilatari dengan label-label korup, penindasan dan egois harus dikikis serta-merta oleh Obama.

Islam & Harapan

Obama, sejak kempen Pilihanraya Presiden dilancarkan tidak dapat lari dari sentimen yang mengaitkan dirinya dengan Islam. Namun, di sebalik kemenangan ini, adakah sentimen Islam mendapat ruang yang sewajarnya di hati Obama? Jika sekadar bergantung kepada ayahnya seorang Islam, dan dia pernah dibesarkan di Indonesia dalam suasana majoritinya masyarakat Islam, ini bagi kita, mungkin belum cukup meyakinkan. Adakah Obama mampu membuktikan wajah baru pemimpin Amerika, daripada berperangai rakus, bongkak dan zalim kepada pemimpin yang merendah diri, diplomatik, berjiwa besar dan adil? Kita perlu optimis dan mendoakan yang terbaik agar ALLAH menunjukkan hidayah kepada beliau , insya ALLAH.

Semoga dengan perjuangan manifesto beliau, 'Change We Need' (Perubahan Yang Kita Perlukan), dan juga didokongi dengan beberapa faktor asasi Islam yang ada pada dirinya seperti dia sendiri memiliki darah manusia yang selalu ditindas dan dizalimi, ayahnya seorang Islam, pernah dibesarkan dalam suasana Islam, dan tegas demi perjuangan mempertahan dan memperjuang hak-hak kaum minoriti, kita yakin, ini semua akan jadi pintu hidayah untuk beliau menjadi pemimpin yang tahu derita rakyat, pemimpin yang arif dalam mengagih-agihkan kekayaan negara seadilnya kepada rakyat, pemimpin yang membela rakyat dunia yang tertindas, dan akhirnya tidak ada yang mustahil, bukan sahaja Obama merupakan Presiden Amerika berkulit hitam yang pertama, tapi insya ALLAH juga dengan izinNYA, sebagai Presiden Amerika beragama Islam yang pertama.


SYED MIKAEL RIZAL AIDID
Setiausaha ABIM Pulau Pinang
 
* Mantan Timbalan Presiden PKPIM  2006/2007
 
 

Rencana Pilihan

Sepuluh Dongengan Bahasa dan Bangsa Melayu
Suatu teori yang sudah beberapa kali dilontarkan oleh pemimpin besar-besar UMNO ialah teori bahasa dan kemajuan bangsa yang nampaknya begitu mudah...Read more...
Bersolat ganti beryoga untuk jaga kesihatan
Sama ada halal atau haram senaman yoga, umat Islam tidak perlu kecoh- kecoh atas kesedaran bahawa mereka mampu memelihara kesihatan tanpa senaman...Read more...
Obama sedarkan orang Melayu
Ramai orang, khususnya bukan Melayu mendapat sedikit perangsang dan semangat secara tiba-tiba dengan kemenangan Barack Hussein Obama sebagai Presiden...Read more...
Jawaban Mahathir Terhadap Dasar Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris Dan Jawaban Balas Daripada Shaharir
(Pandangan Dr. Mahathir ini dipetik daripada blognya sendiri yang saya disedari adanya pada 23/08/08. Untuk memudahkan pembaca, pandangannya...Read more...
PPSMI dan Sistem Nilai Masyarakat
Pada awal abad ke-20, kolonial British mula memperkenalkan ekonomi moden yang tersusun di Tanah Melayu berasaskan pengeluaran komoditi berasaskan...Read more...

Perhubungan

Logo PKPIM
Sekretariat PKPIM Pusat
  Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2,
Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Telefon: +603-6184 2286
Faks: +603-6184 2285
Laman Sawang: www.pkpim.net
Emel: pkpim_spp@yahoo.com