Briged Bakti Tarik Lebih Ramai Generasi Muda Jamin Kurang Masalah Mat Rempit PDF Print E-mail
Written by spp   
Monday, 18 May 2009 13:59

Golongan belia khususnya yang berumur di antara 15 hingga 40 tahun memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu kerajaan membangun dan mengharmonikan politik, sosial, dan ekonomi negara. Berdasarkan statistik tahun 2007, daripada lebih 27 juta orang rakyat Malaysia, kira-kira 41 peratus merupakan golongan belia. Dari jumlah berkenaan, kita mendapati hanya 2 juta orang sahaja yang menyertai pertubuhan belia. Maka timbul persoalan, kemanakah perginya lebih sembilan juta golongan belia yang lain?     

 

Kegagalan institusi belia menarik lebih ramai golongan emas ini menyertai aktiviti mereka sedikit sebanyak mempengaruhi peningkatan kadar jenayah dalam negara. Statistik menunjukkan bahawa pada tahun 2007, negara mencatatkan peningkatan 13 peratus kadar keseluruhan jenayah dalam negara. Bagi jenayah rogol dan penderaan seksual, peningkatan yang lebih signifikan dicatatkan iaitu pada kadar 22 peratus di mana sebahagian besarnya melibatkan golongan belia.

 

 

Selain itu, penularan aktiviti jalanan haram khususnya ”mat rempit” telah melahirkan lebih banyak sub-culture yang mengkesampingkan aturan agama dan nilai luhur kebudayaan tempatan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menjelaskan bahawa penularan ini amat membimbangkan kerana kumpulan Hell-Angel yang menjadi ikutan mat-mat rempit banyak terlibat dengan aktiviti jenayah, penyalahgunaan dadah serta menjalinkan hubungan seks bebas. Jika ia tidak dibendung maka gejala sosial dan jenayah di kalangan remaja di negara ini akan menjadi semakin teruk.

 

Selaras dengan asas yang telah diletakkan oleh Y.A.Bhg Tun Abdullah Badawi, mantan Perdana Menteri menerusi Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Projek Khas Islam Hadhari, signal jelas harus diterima oleh seluruh kepimpinan belia agar lebih kreatif dan kritis mengolah aktiviti yang mengharmonikan aspek keagamaan dan moral dengan semangat dan jiwa keremajaan generasi muda supaya kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa ini.

 

Briged Bakti Malaysia

 

Justeru, pada 8 hingga 10 Mei 2009 yang lalu telah berlangsung Khusus Intensif Penggerak Briged Bakti Malaysia bertempat di D’Ark, Taman Sri Kasih, Seremban. Program yang dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Briged Bakti Negeri Kelantan telah berjaya menghimpunkan seramai 100 orang peserta dari tujuh buah negeri.

 

Progam bertujuan menyediakan para pengerak dengan input dan kemahiran yang diperlukan bagi menjayakan Briged Bakti di negeri masing-masing. Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini menekankan kepada aspek ketahaan fizikal dan mental selain modul kemahiran asas seperti simpulan dan ikatan serta bantuan kecemasan. Turut ditekankan adalah aspek spiritual yang menjadi teras pengupayan belia.

 

Briged Bakti Malaysia (BBM) percaya sekiranya momentum yang telah dimulakan ini dapat disusuli dengan komitmen dan kesungguhan, ia mampu menawarkan alternatif kepada permsalahan semasa yang semakin kuat merantai golongan belia.

 

Mula digerakkan seawal tahun 1991 dengan hanya lima buah sekolah perintis, namun hari ini Briged Bakti boleh berbangga kerana telah berjaya menggerakkan lebih 60 buah sekolah dan menjadi pilihan pertama di kalangan para pelajar sekolah dan lepasan SPM khususnya di Kelantan.

 

Selaku Badan Bukan Kerajaan (BBK) yang sah berdaftar, Briged Bakti memikul tanggungjawab sosial yang besar bagi membantu kerajaan menyediakan solusi kepada permasalahan belia yang kian meruncing ini.

 

Berteraskan kepada falsafah “sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain”, Briged Bakti telah berusaha sebaik mungkin dan buktinya mereka tidak pernah sunyi dari menjalankan progam yang memberi manfaat kepada masyarakat.

 

Bagi menjamin kualiti kemanfaatan program, Briged Bakti talah menggariskan objektif yang perlu dicapai menerusi program-program yang dianjurkan antaranya: 

1.      Melahirkan generasi patriotik yang menjiwai semangat cintakan agama, bangsa dan negara.

2.      Menyedia  peluang   kepada   remaja dan belia untuk mendapat dan meningkatkan pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan ketrampilan mengurus dan memimpin diri, masyarakat dan organisasi.

3.      Menjadi  satu   alternatif kepada golongan remaja dan belia yang berminat kepada kerja-kerja kesukarelaan dan sosial yang bermanfaat. 

4.      Melatih  dan  menggembleng  tenaga  ahli untuk bersama-sama memberi sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat.

5.      Melatih  ahli  dalam  kemahiran  memberi  bantuan  kecemasan,menyelamat dan kemahiran elektif

 

Briged Bakti mengamalkan prinsip kerja 4K iaitu kesukarelaan, kepengorbanan, kebajikan, dan keikhlasan.

 

Sebagai ahli Briged Bakti, mereka bertanggungjawab memelihara perpaduan, keharmonian dan  kemurnian organisasi selain adab-adab dan batasan pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Mereka juga perlu memastikan setiap program yang dijalankan mencapai matlamat  Briged Bakti.

 

Mereka diminta memberi khidmat bakti yang terbaik  kepada semua orang tanpa mengira agama, bangsa, keturunan dan pangkat. Briged Bakti menolak sekerasnya diskriminasi kaum, darjat dan keturunan yang boleh memecah-belahkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.  

 

Bagi memastikan kerelevanan terhadap kumpulan sasar, Briged Bakti menstrukturkan dua jenis keahlian iaitu keahlian biasa bagi individu berumur 18 hingga 63 tahun dan keahlian remaja bagi remaja lelaki dan perempuan yang berusia 10 hingga 18 tahun.

 

Unit Berniform yang menjadi daya tarikan utama kepada para pelajar dalam Briged Bakti dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Briged Bakti Muda, Briged Bakti Remaja dan Briged Bakti Dewasa.

 

Bagi menjamin kelangsunganya, Briged Bakti mewujudkan unit cabangan yang mempunyai tahap dan misi tertentu iaitu Unit Sekolah, Unit Masyarakat dan Unit Transit.

Unit Sekolah mencakupi Pasukan Briged Bakti Muda Sekolah Rendah dan Pasukan Briged Bakti Remaja. Unit ini akan berusaha menjadi salah satu alternatif kepada pasukan pakaian seragam sekolah yang berkesan  dan berwibawa sebagai pelengkap dan sinergi kepada proses pelaksanaan kurikulum di bilik darjah dan menjayakan proses menjana insan bersepadu, berketerampilan dan berwawasan.

 

Unit Masyarakat meliputi Briged Sihat, Briged Kemiskinan, Briged Budaya, Seni, Sukan dan Rekreasi, Briged Masjid, Briged Kepenggunaan dan Alam Sekitar, dan Briged Kecemasan yang lebih terarah kepada hal ehwal kemasyarakatan manakal Unit Transit pula menghimpunkan para pelajar lepasan SPM dan STPM. Dalam Unit Transit, mereka akan berperanan sebagai penggerak Skuad Ibu Pejabat (SIP).

 

Kurikulum Bersepadu

 

Selaras dengan perlaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988, dengan inisiatif dan kesedaran ABIM dan PKPIM, maka satu jawatankuasa telah dibentuk oleh Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan bagi menggubal satu modul kokurikulum yang juga bersepadu sifatnya bagi melengkapkan kesepaduan modul pendidikan negara. 

 

Jawatankuasa tersebut telah meluluskan empat komponen yang kemudiannya menjadi asas kepada Kurikulum Bersepadu Briged Bakti yang digunaan sehingga hari ini. Komponen tersebut adalah kemahiran asas, kepimpinan dan organisasi, bina insan dan khidmat masyarakat atau Khidmas.

 

Pembangunan dan pemurnian keempat-empat komponen ini mampu memenuhi keperluan setiap dimensi seorang insan termasuk spiritual, intelektual, emosi, dan fizikal. Hal ini secara langsung mampu merealisasikan harapan yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara yang mengharapkan pembangunan seorang insan yang lebih seimbang dan harmoni.

 

Asas komponen tersebut tidak pernah menghalang tetapi sebaliknya menggalakkan para penggerak untuk lebih kreatif dan berinovasi dalam menterjemahkan harapan dan impian Briged dalam kepelbagaian bentuk program yang mereka usahakan yang akhirnya dapat menarik lebih ramai generasi muda menyertai mereka.

 

Sokongan Kerajaan

 

Briged juga percaya, sekiranya lebih banyak ruang dan peluang diberikan, serta sokongan luar khususnya pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran (KPM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta badan-badan korporat, Briged yakinakan dapat menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan lebih berkesan.

   

ABU QASSIM NOR AZMI

Exco Pendidikan dan Penyelidikan PKPIM

 

Rencana Pilihan

Sepuluh Dongengan Bahasa dan Bangsa Melayu
Suatu teori yang sudah beberapa kali dilontarkan oleh pemimpin besar-besar UMNO ialah teori bahasa dan kemajuan bangsa yang nampaknya begitu mudah...Read more...
Bersolat ganti beryoga untuk jaga kesihatan
Sama ada halal atau haram senaman yoga, umat Islam tidak perlu kecoh- kecoh atas kesedaran bahawa mereka mampu memelihara kesihatan tanpa senaman...Read more...
Obama sedarkan orang Melayu
Ramai orang, khususnya bukan Melayu mendapat sedikit perangsang dan semangat secara tiba-tiba dengan kemenangan Barack Hussein Obama sebagai Presiden...Read more...
Jawaban Mahathir Terhadap Dasar Pengajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris Dan Jawaban Balas Daripada Shaharir
(Pandangan Dr. Mahathir ini dipetik daripada blognya sendiri yang saya disedari adanya pada 23/08/08. Untuk memudahkan pembaca, pandangannya...Read more...
PPSMI dan Sistem Nilai Masyarakat
Pada awal abad ke-20, kolonial British mula memperkenalkan ekonomi moden yang tersusun di Tanah Melayu berasaskan pengeluaran komoditi berasaskan...Read more...

Perhubungan

Logo PKPIM
Sekretariat PKPIM Pusat
  Lot 2965, Jalan Kampung Tengah 7,
Kampung Tengah, Batu 6 1/2,
Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Telefon: +603-6184 2286
Faks: +603-6184 2285
Laman Sawang: www.pkpim.net
Emel: pkpim_spp@yahoo.com